Refleksi Selepas Kuliah 1 - 26 / 6 / 2012
Hari ini merupakan kali kedua saya menghadiri kuliah Kecerdasan Emosi dan juga merupakan kali pertama kami berinteraksi dengan pensyarah baharu kami, iaitu Encik Shaari bin Abdul Karim. Sebelum memulakan kuliah, beliau telah memperkenalkan diri supaya kami lebih memahami latar belakang beliau.
Pada hari ini, Encik Shaari telah membentangkan kisah tentang pencipta kapal terbang yang mulia, iaitu The Wright brothers. Mereka merupakan adik-beradik, bernama Orville Wright dan Wilbur Wright. Pasangan adik-beradik ini tidak berpelajaran tinggi.
Dalam usaha penciptaan kapal terbang, 'the Wright brothers' banyak mengalami dugaan dan rintangan. Mereka pernah mencuba penerbangan lebih daripada 200 kali untuk mengubahsuaikan permukaan kapal terbang, bahan-bahan untuk membina kapal terbang dan enjin steam yang sesuai untuk digunakan pada kapal terbang. Selain itu, mereka juga diejek sebagai penipu oleh akhbar dan orang ramai atas penciptaan mereka.
Walau bagaimanapun, mereka tidak berputus asa, sebaliknya berusaha untuk membuktikan hasil penciptaan mereka kepada masyarakat. Wilbur Wright telah memandu menuju ke Perancis sebagai acara demonstrasi, seterusnya menubuhkan syarikat. Berkat kegigihan mereka, akhirnya adik-beradik ini telah berjaya menghasilkan pengangkutan yang amat memanfaatkan manusia dan menjadi antara pencipta yang mulia.
Melalui kisah mereka, saya mendapati bahawa kita perlu bijak mengawal emosi kita semasa membuat sesuatu perkara. Emosi kita tidak patut dipengaruhi oleh pengaruh luaran dan perlulah dikawal dalam keadaan yang baik oleh diri sendiri kerana tidak ada sesiapa pun yang dapat mengawal emosi kita kecuali kita sendiri. Selain itu, kita juga perlu rajin berusaha untuk mencapai kejayaan yang ditujui. Kita juga tidak patut mudah mengenali jemu dan tidak mudah berputus asa sekiranya menghadapi sebarang cabaran. Kita harus menghadapi cabaran itu dengan gagah kerana hidup ini penuh dengan cabaran.
Dalam kuliah pada hari ini, saya telah mempelajari banyak nilai murni yang amat diperlukan dalam perjalanan menuju ke kejayaan. Kisah ini amat sesuai dengan definisi 'Kecerdasan Emosi' kerana watak-wataknya berkemampuan merasakan, memahami dan menerapkan secara efektif daya kepekaan emosi sebagai sumber tenaga, maklumat, hubungan dan pengaruh yang manusiawi. Saya amat kagum dengan ketekunan, kecekalan dan kegigihan 'the Wright brothers' dan akan menerapkan nilai-nilai murni ini dalam diri saya.
No comments:
Post a Comment