Wednesday, 8 August 2012

Watak Perwatakan Novel 'Perlumbaan Kedua'



Analisis Watak Utama dan Watak Sampingan Novel “Perlumbaan Kedua”
Dalam novel “Perlumbaan Kedua”, terdapat beberapa watak perwatakan yang boleh kami dapati. Watak utama dalam novel ini ialah Tuk Kura. Antara watak sampingan bagi novel ini termasuklah Sang Arnab Putih, Sang Kancil dan Sang Gajah.
            Tuk Kura ialah seekor binatang yang berusia lebih kurang 200 tahun. Tuk Kura merupakan seekor binatang yang bijak, tabah dan berani. Dia berjanji untuk berlumba dengan arnab dalam Perlumbaan Kedua untuk menjaga maruah suku-sakatnya. Walaupun Tuk Kura didera oleh suku-sakatnya, dia tidak menaik marah dan menyorokkan diri untuk menjalani latihan supaya mempunyai persiapan yang mencukupi untuk berlumba dengan Arnab Putih. Dia berani menerima cabaran Arnab Putih yang masih muda walaupun dia telah berusia. Tuk Kura juga merupakan seekor binatang yang bijak. Dia pandai merancang strategi untuk membuat persediaan perlumbaan. Dia telah memilih sepuluh ekor kura-kura muda untuk menjalankan latihan di tebing sungai. Dia juga memilih lereng bukit sebagai tempat perlumbaan supaya memudahkan kura-kura melantunkan diri dalam perlumbaan. Tuk Kura juga seekor binatang yang pemaaf dia tidak meninggalkan suku-sakatnya yang pernah bertindak buruk terhadapnya dan memaafkan tindakan mereka yang salah sebelum itu. Tuk Kura juga merupakan seekor binatang yang menepati janji. Dia tetap muncul pada hari perlumbaan seperti yang telah dijanjikan sebelum ini untuk mewakili suku-sakatnya mengambil bahagian dalam Perlumbaan Kedua.
Sang Arnab Putih ialah seekor binatang yang tangkas dan lincah pergerakkannya. Dia memainkan peranan sebagai watak sampingan dalam novel ini. Sang Arnab Putih amat mementingkan maruahnya. Apabila mendapat tahu tentang kekalahan nenek moyangnya kepada kura-kura, Sang Arnab Putih berasa tercabar dan hendak mengadakan Perlumbaan Kedua dengan kura-kura untuk mempertahankan maruah suku-sakatnya. Sang Arnab Putih bersikap sombong dan angkuh dengan kelebihannya. Dia suka merendah-rendahkan kebolehan orang lain. Dia terlalu berkeyakinan diri sehingga mengabaikan latihan untuk membuat persediaan menyertai perlumbaan.
Sang Kancil ialah binatang yang berniat jahat. Dia bermulut celupar dan suka mengadu domba. Dia mengungkitkan peristiwa yang berlaku pada 198 tahun yang lalu, iaitu kekalahan nenek moyang arnab kepada kura-kura. Tindakan ini menyebabkan Sang Arnab Putih berasa terhina dan ingin mengadakan Perlumbaan Kedua dengan kura-kura untuk mempertahankan maruah kaum arnab. Dia juga membantu Sang Arnab Putih menyampaikan perkara tentang Perlumbaan Kedua kepada Tuk Kura dan menghebohkan perlawanan ini kepada seluruh warga hutan.
Sang Gajah merupakan seekor binatang yang baik hati. Dia membawa Tuk Kura yang uzur menaiki bukit. Sang Gajah juga amat prihatin atas warga hutan. Dia meminta Tuk Kura untuk berehat seketika selepas Tuk Kura menaiki ke Bukit Batu. Dia bersikap adil dan dilantik sebagai hakim dalam Perlumbaan Kedua. Sang Gajah tidak mudah dipengaruhi oleh orang lain dan mempunyai pandangan sendiri. Dia juga tidak berat sebelah dan enggan mendengar kata Bapa Arnab untuk menentukan pihak arnab sebagai pemenang dalam perlumbaan tersebut supaya tidak berlaku ketidakadilan ke atas pihak kura-kura.

No comments:

Post a Comment