Buat refleksi tahap
kompetensi kecerdasan emosi watak-watak dalam novel yang telah anda pilih. (Jenis
konsep kendiri – positif atau negatif dan penghargaan kendiri atau penolakan
kendiri / helah bela diri.)
Novel yang telah saya pilih ialah
novel “Perlumbaan Kedua”. Novel ini telah saya baca dan hayati. Dalam novel
ini, terdapat beberapa situasi yang dihadapi oleh watak utama dan watak
sampingan. Watak utama dalam novel ini ialah Tuk Kura, manakala antara watak
sampingan dalam novel ini termasuklah Sang Arnab Putih, Sang Kancil dan Sang
Gajah.
Tuk Kura mempunyai tahap kompetensi
kecerdasan emosi yang positif. Dia merupakan ketua bagi suku-sakat kura-kura.
Apabila diajak oleh Sang Arnab Putih untuk mengadakan Perlumbaan Kedua, Tuk
Kura berfikir dengan rasional dan membuat keputusan untuk menyertai perlumbaan
tersebut untuk mempertahankan maruah suku-sakatnya. Tuk Kura telah
bertungkus-lumus menjalankan kewajipannya sebagai ketua dengan memilih calon-calon
perlumbaan dan menjalankan latihan supaya mereka mempunyai persediaan yang
mencukupi untuk berlumba. Tuk Kura telah disalahfahami oleh suku-sakatnya
bahawa dia sedang menyeksa calon-calon perlumbaan ketika latihan sedang
dijalankan. Tuk Kura tidak marah dan terus bertenang kerana dia yakin bahawa
dia akan membukti kepada suku-sakatnya tentang niat baiknya untuk melatih
calon-calon perlumbaan. Tuk Kura telah didera oleh suku-sakatnya tetapi dia
tetap berdiam diri dan menyembunyikan diri untuk menjalani latihan. Dia
mengambil keputusan untuk mewakili suku-sakatnya mengambil bahagian dalam
Perlumbaan Kedua kerana dia faham bahawa ini juga merupakan antara
tanggungjawabnya sebagai ketua. Tuk Kura merupakan seekor binatang yang bijak.
Dia mengatur strategi untuk memenangi perlumbaan ini. Dia telah memilih kawasan
lereng bukit sebagai tempat perlumbaan. Akhirnya, Tuk Kura berjaya
mempertahankan maruah kura-kura dengan melantunkan badannya dalam perlumbaan,
seterusnya memenangi perlumbaan tersebut. Semangat Tuk Kura amat terpuji. Watak
Tuk Kura merupakan teladan yang baik untuk semua makhluk kerana dia mempunyai
nilai-nilai seperti sabar, bertanggungjawab dan cerdik.
Sang
Arnab Putih mempunyai tahap kompetensi kecerdasan emosi yang negatif. Sang
Arnab Putih mempunyai sikap sombong dan angkuh dengan kelebihannya. Dia bangga
terhadap ketangkasannya dan memandang
rendah terhadap kebolehan orang lain. Sang Arnab Putih juga mempunyai keburukan
bertindak secara terburu-buru dan tidak berfikir dengan rasional. Sang Arnab
Putih telah mempersetujui cadangan Tuk Kura memilih kawasan lereng bukit yang
berbatu-bata sebagai tempat perlumbaan tanpa berfikir dan akhirnya menyebabkan
kekalahan. Dia tidak berfikir dengan baik-baik sebelum membuat sebarang
keputusan. Sang Arnab Putih juga terlalu berkeyakinan diri dan tidak menjalani
latihan sebelum perlumbaan. Tindakan ini tidak patut berlaku kerana kita tidak
boleh menjangka kebolehan orang lain. Sang Arnab Putih mudah mempercayai
kata-kata orang lain dan terjatuh dalam muslihat Sang Kancil yang licik,
seterusnya menyebabkan suku-sakatnya mengalami kejatuhan maruah sekali lagi
serta mempengaruhi hubungan baik antara arnab dengan kura-kura.
Sang Kancil juga
mempunyai tahap kompetensi kecerdasan emosi yang negatif. Sang Kancil telah
mempunyai muslihat untuk melihat pertarungan antara arnab dengan kura-kura. Dia
telah mengadu domba dengan Sang Arnab Putih dan menggalakkan Sang Arnab Putih
untuk mengadakan Perlumbaan Kedua dengan kura-kura supaya suku-sakat arnab
tidak diejek oleh orang lain. Dia berniat jahat untuk memecahbelahkan hubungan
harmoni antara kura-kura dengan arnab. Tindakan ini tidak patut berlaku kerana
akan mengakibatkan huru-hara antara warga hutan. Sang Kancil patut berasa malu
atas tindakannya yang tidak bermakna.
Sang Gajah pula mempunyai tahap
kompetensi kecerdasan emosi yang positif. Sang Gajah mempunyai sifat kepimpinan
dan keadilan. Oleh itu, dia telah dilantik sebagai hakim bagi Perlumbaan Kedua.
Sifat positif Sang Gajah amat disukai oleh warga hutan. Sang Gajah juga
mempunyai pandangan sendiri dan tidak mudah mempercayai kata-kata orang lain.
Dia berpegang teguh atas pemikirannya dan tidak membuat keputusan yang salah
dengan tidak mendengar kata-kata Bapa Arnab untuk menentukan Sang Arnab Putih
sebagai pemenang bagi Perlumbaan Kedua. Sang Gajah juga mempunyai sifat empati
dan prihatin. Dia telah membantu Tuk Kura yang berusia untuk menaiki bukit yang
berbatu-bata.
No comments:
Post a Comment