Sinopsis
Novel “Perlumbaan Kedua”
Novel “Perlumbaan Kedua” ialah
sebuah novel yang mengisahkan sekumpulan binatang yang ingin mengadakan
perlumbaan di dalam sebuah hutan. Novel ini dikarang oleh Marwilis Haji Yusuf.
Kisah novel ini bermula daripada
Sang Kancil yang telah mengungkitkan peristiwa Perlumbaan Pertama yang berlaku
pada 198 tahun yang lalu. Sang Kancil telah mengejek nenek moyang Sang Arnab
Putih tentang kekalahan nenek moyang Sang Arnab Putih dalam perlumbaan
tersebut. Tindakan ini menyebabkan Sang Arnab Putih berasa tercabar dan ia
mengambil keputusan untuk berlumba dengan suku-sakat kura-kura sekali lagi
untuk menjamin maruah suku-sakatnya. Sang Kancil menolong Sang Arnab Putih
menyampaikan hasratnya kepada Tuk Kura. Tuk Kura telah berjanji untuk
mengadakan Perlumbaan Kedua dengan Sang Arnab Putih walaupun tidak disokong
oleh suku-sakatnya.
Suatu perjumpaan yang diketuai oleh
Sang Gajah telah diadakan di Bukit Batu. Syarat-syarat perlumbaan telah
ditentukan, iaitu perlumbaan akan diadakan di lereng bukit dan perlumbaan ini
merupakan perlumbaan terakhir. Sang Gajah telah dilantik sebagai hakim dan
kedua-dua pihak telah diberikan masa selama dua bulan untuk membuat persediaan.
Tuk Kura mengumpulkan suku-sakatnya lalu memilih sepuluh ekor kura-kura muda
untuk menjalani latihan. Tuk Kura telah merancang strategi dengan memberikan
pelbagai jenis latihan di tebing sungai. Bapa Arnab pula mengadakan perlumbaan
antara arnab-arnab dan Sang Arnab Putih telah dipilih sebagai wakil perlumbaan.
Bapa Arnab juga meminta Sang Tedung untuk mengawasi gerak-geri Tuk Kura dengan
memberikan rasuah kepada Sang Tedung.
Sang Tedung menghasut dan
memecahbelahkan suku-sakat kura-kura sehingga Tuk Kura didera oleh
suku-sakatnya. Selepas itu, Tuk Kura telah
menghilangkan diri. Berita kehilangan Tuk Kura tersebar luas dan Bapa
Arnab mendesak Sang Gajah untuk mengisytiharkan Sang Arnab Putih sebagai
pemenang. Walau bagaimanapun, Tuk Kura tetap muncul pada hari perlumbaan. Tuk
Kura yang berusia telah menggunakan strategi melantunkan diri dari puncak bukit
dan berjaya memenangi Perlumbaan Kedua.
No comments:
Post a Comment